Monday, April 5, 2010

Bunga Pagi Din Beramboi

Namanya deras mengingatkan ramai peminat terutama generasi yang membesar sekitar tahun 90-an terhadap watak kartun Din Beramboi dalam komik Ujang yang sangat popular satu ketika dahulu.

Dalam sedar atau tidak, pemilik nama Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 44, dengan pemilik watak kartun berkenaan adalah orang yang sama.

Sejak Isnin lalu, riuhnya bukan kepalang apatah lagi rakan taulan dan media menjadikan Facebook dan Twitter sebagai akses berkongsi perkembangan keadaan kesihatan Din dengan khalayak.

Berita lelaki bertubuh gempal itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang diburu peminat dan media.

Awalnya, virus kencing tikus dikatakan sebagai penyebab serangan organ dalamannya tidak berfungsi termasuklah buah pinggang. Hanya lewat Selasa lalu, dia disahkan diserang denggi berdarah atau Dengue Shock Syndrome.

Pengumuman dilakukan sendiri oleh Pengarah Hospital Selayang, Dr. Siti Zaleha Mohd Salleh.

Insan terdekat mendampinginya sepanjang proses pendaftaran di hospital, Sharifuddin Che Man (adik iparnya), berkongsi detik terakhir Din sebelum 'ditidurkan' sementara rawatan ke atas Din dimulakan.

"Dia (Din) membuat permintaan, katanya mahu naik ambulans dari Klinik Sentosa, Rawang ke Hospital Selayang. Semasa hendak diturunkan dari ambulans pula, sempat lagi dia melawak.

"Katanya, cara pemanduan pemandu ambulans itu sudah mencapai tahap antarabangsa, tapi peralatan di dalam van itu sudah seperti keranda.

"Kami sukar untuk buat pendaftaran masuk sebab Din hanya bawa surat rujukan doktor klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut tanpa membawa dokumen diri," katanya sambil menggeleng kepala mengenangkan bicara terakhir daripada mulut Din.

Katanya, Din bukan koma sebaliknya diberikan ubat sedatif supaya badannya dapat berehat sementara rawatan diteruskan.

Sambil meluahkan rasa kesal dengan pelbagai khabar angin yang ditulis di Internet, Shariffudin menjelaskan pihak keluarga sendiri tidak dapat memastikan situasi sebenar Din sebelum keputusan rasmi dikeluarkan doktor.

Tambah Shariffudin: "Seluruh tubuhnya bengkak kebiruan semasa rawatan. Saya percaya dia dengar apa yang kami katakan kepadanya. Setiap pelawat yang datang berbicara dan memberikan kata-kata semangat buat Din."

Sejak Selasa lalu, ruang menunggu dan lobi hospital tidak henti-henti dikunjungi rakan artis serta peminat yang ingin tahu perkembangan Din.

Dalam kebimbangan dan penantian, semua tidak putus mendoakan kesejahteraan buat penghibur itu. Din Beramboi sebenarnya sangat disenangi dan disayangi oleh semua.

Sepanjang dalam ICU, Din tidak putus-putus dikunjungi kenalan, saudara jauh dan dekat bahkan ada peminat sanggup memandu dari jauh semata-mata untuk menjenguk Din.

Rakan artis seperti Aznil Nawawi, Afdlin Shauki, Nabil, Irma Hasmi, Zizan, Vanida Imran, Rashidi Ishak, Hans Isaac, Harith Iskandar, Harun Salim Bachik dan Zul Yahya menjadi pelawat Din.

Seorang rakan artis yang juga teman baiknya, Sharifah Shaheera antara yang menjadi penunggu setia tingkat lima hospital berkenaan sejak Din ditahan di situ.

"Saya sendiri sudah putus asa tetapi Din yang tidak berhenti berjuang. Pagi saya sudah tidak diganggu SMS merapu sejak Isnin lalu. Hidup saya kosong, saya menangis sampai tiada air mata.

"Banyak lagi rancangannya yang masih belum ditunaikan. Saya ingat lagi, Din berhasrat mahu sama-sama memeriahkan Anugerah Bintang Popular, Ahad ini.

"Katanya, dia mahu hadir bersama keluarga dan akan pakai kostum badut bertulis 'Undilah saya' sebab asyik-asyik muka sama yang menang.



KOLABORASI Din bersama Aznil Nawawi dilihat sebagai penceria pagi kepada seluruh pendengar Radio Era.




"Dia memang pelik, saya sendiri tidak dapat bezakan sama ada apa yang keluar daripada mulutnya itu betul atau tidak," kata Shaheera yang berkongsi zaman gelap bersama Din sejak bertemu dalam program Bila Larut Malam beberapa tahun lalu.

Pernah bersama Time Highway Radio (THR) selama lapan tahun sebelum bergelar pelawak dan kini dia bertugas secara hakiki sebagai penyampai radio Era, Din pernah meluahkan: "Saya lebih selesa digelar penghibur radio berbanding penyampai radio.

Din Beramboi percaya pendengar harus dihiburkan dengan celoteh dan jenaka.

Din ibarat bunga pagi oleh majoriti khalayak. Suaranya membuatkan rasa dekat walau yang meminjamkan telinga itu berada di ceruk mana sekali pun. Mendengar suaranya sahaja boleh mendatangkan ketawa, hati jadi tergeletek.

Ada yang dengan selamba melabelkan cara lawak Din sebagai lawak merapu, Din tidak pernah ambil peduli.

Din meninggal dunia pukul 12.30 pagi Jumaat lalu setelah dua hari bertarung nyawa. Doa buat Din, semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

No comments: