Saturday, August 30, 2008

Merdekakan Diri, Merdekakan Jiwa

Bismillahirahmanirrahim.

Merdeka,
Merdeka,
Merdeka..

Tanggal 31 Ogos 2008, sesudah 51 tahun Malaysia bebas daripada cengkaman penjajah-penjajah. Bila dikenangkan balik 51 tahun yang lalu atau sebelumnya, pasti ramai yang tahu betapa susahnya pemimpin-pemimpin dahulu berkorban dan berjuang untuk mempertahankan hak milik kita daripada jatuh ke tangan orang lain. Pada waktu itu, tentulah keadaan yang berbeza daripada apa yang kita alami sekarang. Bagaimana Dato' Onn Jaafar menentang Malayan Union dan sekaligus menubuhkan UMNO. Bagaimana pula Tunku Abdul Rahman berkorban untuk membebaskan kita daripada cengkaman penjajah. Bagaimana pula Tun Hussein membangunkan serta memajukan negara Malaysia.

Kita patut sedar pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu supaya kita sedar betapa susahnya mereka berjuang untuk kesenangan generasi akan datang. Seperti mana yang kita rasai sekarang, Malaysia sudah membangun dengan pesatnya, keadaan desa yang maju, berbeza waktu dahulu. Pemimpin-pemimpin berjuang bukan semata-mata untuk satu bangsa sahaja, malah kesemua bangsa yang ada di Tanah Melayu ketika itu, mereka mahu kita bersatu-padu dan berganding bahu untuk memajukan negara Malaysia ini supaya dunia luar tahu bahawa betapa indahnya kalau hidup berbagai kaum.

Sebagai generasi muda, aku amat berbangga dengan kemajuan yang dicapai Malaysia dan aku amat bertuah dapat hidup di negara yang aman dan damai. Pengorbanan mereka amat berbaloi bukan untuk diri mereka sahaja malah untuk golongan masa depan seperti aku dan golongan muda yang lain.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai Mykad berwarna biru, aku bangga menjadi rakyat Malaysia.

Selamat menyambut Kemerdekaan Malaysia yang ke-51..

Merdeka,
Merdeka,
Merdeka..

No comments: